Wanita dan Emas

Updated: Sep 17, 2021

Membincangkan perkaitan hubungan di antara kaum wanita dan emas

PERUNDING EMAS SEBAGAI KERJAYA

Emas adalah sesuatu yang evergreen atau dalam Bahasa Melayunya malar segar. Emas adalah sesuatu yang sentiasa mendapat tempat dalam kalangan peminat dan penyimpannya. Industri emas telah beroperasi sejak dahulu kala, kini dan tidak mustahil untuk masa akan datang industri emas tetap akan berjalan seperti biasa dengan penambahbaikan sistem selari dengan arus kemodenan yang berlaku pada hari ini. Sama ada harga emas naik, turun atau pun kekal emas masih mendapat perhatian terutamanya dari kaum wanita.



POTENSI PELABURAN EMAS

Potensi harga emas dalam tempoh masa panjang akan berada dalam keadaan menaik. Walaubagaimanapun, ada ketikanya dalam satu atau dua tahun harga emas akan menurun tetapi sekiranya emas itu disimpan dalam tempoh masa yang panjang ia merupakan pelaburan yang amat berbaloi. Bagi kaum wanita, emas perhiasan yang dibeli, selalunya disimpan untuk satu tempoh yang lama dan kadangkala emas perhiasan itu diturun ke generasi seterusnya seperti anak-anak dan cucu-cucu perempuan mereka.


JAMINAN TIDAK TERTIPU DENGAN PELABURAN EMAS

Apabial berlakunya kenaikan harga emas, ditambah pula dengan imbuhan-imbuhan dan peluang yang diperoleh semasa berlakunya pandemik Covid-19, emas menjadi kegilaan. Bagi mengelakkan anda ditipu oleh mana-mana penjual emas walaupun menggunakan aplikasi jual beli atas talian, pastikan anda membeli emas daripada syarikat-syarikat atau orang perseorangan yang mempunyai reputasi yang baik dan boleh dipercayai. Pastikan anda terutamanya kaum wanita tidak membeli emas yang mempunyai banyak batu-batu perhiasan. Pilih emas perhiasan yang sesuai digunapakai hari-hari yang bersifat tahan lasak kerana ia lebih tebal dan padu.



PELABURAN EMAS PATUH SYARIAH

Emas merupakan barang ribawi. Peraturan pertama dalam Islam untuk memastikan pembelian atau pelaburan emas itu patuh dari segi syariahnya adalah mesti beli emas fizikal. Dengan kata mudahnya, beli emas dapat pegang emas. Pembelian emas diatas kertas atau on paper gold adalah pembelian yang tidak patuh syariah. Sekiranya anda, kaum wanita minat pada perhiasan beli emas perhiasan. Sekiranya tidak berminat untuk memakai emas perhiasan, pastikan anda membeli emas jongkong ataupun emas syiling (emas pelaburan). Ini adalah kerana spread value (beza harga beli dan jual semula) emas perhiasan dan emas pelaburan adalah berbeza. Emas perhiasan mempunyai spread value 25% dan ke atas manakala emas pelaburan hanya sekitar 10% dan ke bawah. Selain daripada itu, emas perhiasan terdedah dengan manipulasi harga oleh kedai-kedai emas berkenaan dengan kos workmanship atau dikenali sebagai kos upah tetapi tidak kepada emas pelaburan.


KENAPA TERTARIK BELI EMAS SEWAKTU HARGA EMAS NAIK?

Pertamanya adalah disebabkan oleh panic attack. Bimbang sekiranya harga emas semakin melambung tinggi menyebabkan ramai orang awam berpusu-pusu untuk membeli emas. Keduanya adalah disebabkan orang awam mula mengambil tindakan untuk menyimpan aset bagi tujuan kecemasan. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, emas mampu untuk membantu mereka. Kemudahan yang disediakan Ar-Rahnu boleh memberikan pinjaman sehingga 80% daripada nilai semasa emas yang dibeli.



ZAKAT EMAS PERHIASAN DAN EMAS PELABURAN

Zakat bagi kedua-dua kategori emas ini hanya perpu dibayar apabila memenuhi dua syarat iaitu haul (tempoh masa) dan nisab (timbangan berat). Zakat emas perhiasan bergantung kepada kadar uruf yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Sebagai contoh, kadar uruf bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah 800 gram. Sekiranya seorang wanita di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai emas perhiasan seberat 800 gram dan dipakai walaupun sehari dalam tempoh masa setahun, maka kadar zakat yang perlu dijelaskan adalah RM0.00. Zakat emas perhiasan hanya perlu dijelaskan, 2.5% daripada harga emas semasa dan lebihan daripada kadar uruf. Semak kadar uruf setiap negeri di Malaysia di sini. Kadar zakat emas pelaburan adalah 2.5% daripada harga emas semasa apabila berat emas melebihi 85 gram dan genap setahun penyimpanannya.


TIPS UNTUK PELABUR

Perlu semak harga emas semasa dunia. Bandingkan harga emas dunia semasa dan harga jualan di kedai emas untuk memastikan harga yang akan dibeli bukanlah sesuatu yang over price. Ini adalah kerana harga jualan emas bukanlah harga yang boleh dikawal oleh kerajaan. Setiap kedai emas bebas untuk menetapkan harga jualan emas mereka.