Emas Murah : Aset atau Pelaburan?

Updated: Jun 22, 2021

Program MHI TV3 menjemput Tuan Shamsuddin Kadir, perunding kewangan rakyat bagi mengupas topik berkenaan.


NAIK TURUN HARGA EMAS

Harga pasaran emas berlawanan dengan pasaran saham. Sekiranya pasaran saham rendah, pasaran emas naik dan sebaliknya. Sebagai contoh ketika pandemik Covid-19 berlaku pada tahun 2020, ekonomi dunia jatuh menyebabkan pasaran saham turut jatuh. Sebaliknya yang berlaku pada pasaran emas. Di mana harga emas mencatat nilai tertinggi dengan RM304/gram pada bulan 6 Ogos 2021. Apabila berlaku penguncupan ekonomi pelabur-pelabur mula mengalihkan aset mereka kepada aset paling selamat menjaga nilai iaitu emas.


APA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA HARGA EMAS TURUN?

Ketika harga emas menaik, beli emas dalam kuantiti sedikit manakala ketika harga emas menurun, borong emas. Bermakna beli emas dalam kuantiti yang banyak untuk mendapatkan harga pergram yang lebih murah. Faedahnya adalah untuk membina tabiat menyimpan kepada bentuk yang lebih baik daripada menyimpan wang. Walaubagaimanapun apabila terlibat dengan simpanan emas "Tak beli menyesal, beli pun menyesal". Oleh yang demikian, bukanlah emas yang memberi kekayaan kepada seseorang tetapi ilmu mengenai emas itu yang membuatkan seseorang itu bertambah kaya.


EMAS, ASET ATAU PELABURAN

Emas perhiasan dan emas jongkong adalah tergolong dalam kategori aset. Emas pelaburan adalah dalam bentuk jongkong dan juga dinar. Emas perhiasan mempunyai beza harga jual dan beli (spread) yang tinggi manakala emas pelaburan mempunyai nilai spread yang lebih rendah. Emas perhiasan mempunyai nilai spread yang tinggi kerana ianya mempunyai kos upah di mana kos upah ini tidak digunapakai ketika pemiliknya menjualkan emas perhiasan itu semula.

BELI EMAS DENGAN MATLAMAT

Amat tidak digalakkan membeli emas tanpa matlamat. Sebagai contoh apabila ditanya kenapa beli emas jawapannya ikut-ikut orang. Perkara ini amatlah tidak digalakkan sama sekali kerana apabila membeli emas dengan matlamat, pemilik emas akan tahu bila masa yang paling sesuai bagi dirinya untuk menjual semula emas-emas tersebut. Ada ketika dan situasinya, emas tersebut sesuai untuk dijual bagi sesetengah individu tetapi tidak bagi sesetengah individu yang lain. Tidak semua individu mempunyai matlamat simpanan dan harga permulaan pergram yang sama.

EMAS PERHIASAN YANG SESUAI UNTUK DIJADIKAN PELABURAN

Emas perhiasan yang sesuai dijadikan sebagai medium pelaburan adalah solid gold. Emas perhiasan yang tidak mempunyai campuran emas putih adalah medium pelaburan yang paling sesuai bagi kaum wanita. Emas putih memiliki harganya tersendiri ketika dibeli tetapi tidak ketika dijual. Pembeli emas perhiasan juga didapati sukar untuk menentukan kuantiti emas yang terkandung di dalam gelang tangan atau rantai leher sekiranya terdapat emas putih pada gelang atau rantai emas tersebut.

PANDUAN ASAS BAGI MEREKA YANG MAHU BERMULA

Harga emas adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka dengan tepat. Sekiranya mempunyai modal untuk membeli emas fizikal, jongkong ataupun dinar, bahagikan modal tersebut kepada beberapa bahagian kecil sebagai contoh tiga bahagian. Gunakan bahagian pertama untuk dijadikan sebagai penanda aras dan sekiranya perlu gunakan bahagian kedua dan ketiga. Sekiranya tidak, perlu berhenti pada mana-mana bahagian bergantung kepada strategi masing-masing. Emas mampu untuk menyelamatkan daripada boros-boros halus dan emas mampu membantu mengejar nilai hartanah. Purata nilai hartanah di Malaysia naik sekitar RM100 sehari, sebulan RM3000 dan setahun RM36 500.



NASIHAT TERAKHIR

Ilmu berkaitan emas bukan sekadar membeli pada harga yang rendah dan menjualkannya semula pada harga yang lebih tinggi. Bila membeli emas, pastikan emas itu dapat dipegang bukan hanya tertera pada atas kertas. Untuk memastikan produk emas itu benar-benar dipercayai, pergi ke mana-mana Ar-Rahnu atau pajak gadai untuk memastikan produk emas tersebut turut di terima di Ar-Rahnu dan pajak gadai. Berisiko tinggi sekiranya terlibat dalam aktiviti kutu emas.