5 ASAS SEBELUM MEMBELI EMAS (TEKNIKAL)



Premium Over Spot Price Rendah Daripada 10%


Premium bermaksud harga jual dan spot price bermaksud harga dagangan emas dunia. Harga dagangan emas dunia diniagakan dalam bentuk emas mentah atau lebih dikenali sebagai bijih emas. Untuk pengetahuan para pembaca, penjual emas bebas untuk menetapkan harga jualan produk kerana emas tidak disenaraikan sebagai barang kawalan di Malaysia. Oleh yang demikian, kita sebagai pengguna perlu bijak untuk memilih produk yang harga jualnya tidak jauh dengan harga dagangan emas dunia.


Semakin besar beza harga jual dan harga dagangan dunia, semakin lama tempoh yang perlu diambil oleh pembeli untuk menikmati keuntungan. Semakin kecil harga jual dan harga dagangan emas dunia, semakin singkat tempoh yang perlu diambil oleh pembeli untuk menikmati keuntungan. Beza antara harga jual dan harga dagangan dunia ini adalah sesuatu yang normal. Ia merupakan keuntungan yang diperlukan oleh syarikat untuk menampung kos-kos pengeoperasian. Walaubagaimanapun sekiranya keuntungan yang diambil oleh pihak syarikat terlalu tinggi maka ia merupakan kerugian bagi pihak pembeli.


Oleh yang demikian, Tuan Azizi Ali menyatakan produk emas yang baik adalah apabila beza harga jual dan harga dagangan dunia berada di dalam julat 10%. Contoh pengiraan, waktu ditulis ni harga dagangan emas dunia RM244.20/g dan harga jual Public Gold adalah RM263/g. Maka beza antara harga jual Public Gold dan harga dagangan emas dunia adalah RM263 – RM244.20 bersamaan dengan RM18.80. Seterusnya (RM18.80 ÷ RM244.20) × 100% sama dengan 7.6986% kurang daripada 10%. Harga dagangan emas dunia boleh disemak di kitco.com dan goldprice.com


Nilai Spread Rendah


Perlu diingatkan kepada para pembaca bahawa keuntungan daripada simpanan dan pelaburan emas hanya akan diperolehi apabila emas itu dijual. Sekiranya emas tersebut tidak dijual maka tiada keuntungan akan dinikmati. Oleh yang demikian, bagi memaksimumkan keuntungan daripada simpanan dan pelaburan emas nilai spread itu perlu rendah. Apa itu nilai spread?



Spread adalah beza harga jual dan harga beli. Formulanya adalah (harga jual – harga beli) ÷ harga beli × 100%. Contohnya harga jual PG RM266.40/gram dan harga beli PG RM242.50/gram. Maka RM266.40 - RM242.50 bersamaan dengan RM23.90. Seterusnya, (RM23.90 ÷ RM242.50) × 100% = 9.8566%. Sebaik-baiknya, untuk memaksimakan keuntungan simpanan dan pelaburan emas, nilai spread sesuatu produk emas itu perlu di bawah 10%. Kesimpulannya, semakin rendah nilai spread semakin tinggi keuntungan.


Di Terima Secara Meluas Oleh Ar-Rahnu


Salah satu tujuan membuat simpanan dan pelaburan emas adalah ia boleh digunakan untuk mendapatkan wang tunai apabila dalam keadaan kecemasan atau terdesak. Dalam keadaan sedemikian, aset-aset kewangan memerlukan borang-borang yang lengkap diisi, siap ditandatangan, memerlukan saksi, duti setem, proses pengurusan, penilaian dan kadangkala nilai yang dimohon tidak dipenuhi oleh pihak pengurusan. Ia merupakan proses rumit mengambil masa yang lama untuk diproses.



Berbeza dengan emas. Bawa emas ke mana-mana Ar-Rahnu berdekatan untuk dipajakkan. Walaubagaimanapun, bukan semua emas akan diterima dengan mudah oleh pihak Ar-Rahnu untuk dipajakkan. Sesetengah Ar-Rahnu akan melakukan pemeriksaan sebelum emas tersebut dipajakkan bagi memastikan ketulenannya. Oleh yang demikian, pilihlah syarikat yang mempunyai kerjasama luas dengan syarikat-syarikat Ar-Rahnu. Sebagai contoh sekiranya anda membawa emas Public Gold ke mana-mana Pos Ar-Rahnu, proses pajakan itu akan mengambil masa yang singkat ini kerana Public Gold telah menjalinkan kerjasama dengan Pos Ar-Rahnu. **Setiap syarikat Ar-Rahnu mempunyai terma dan syarat yang berbeza.


Mempunyai Sijil Pengesahan Ketulenan Dari Badan Bebas


Aspek ini berkait rapat dengan aspek (ketiga) di atas dan (kelima) di bawah. Atas sebab emas tersebut mempunyai sijil pengesahan ketulenan daripada mana-mana badan bebas maka proses pajakan dan proses menjual semula emas tersebut akan mudah. Ini kerana emas tersebut telah disahtulenkan oleh penentu tulen emas (assayer) sama ada dari dalam atau luar negara. Tidak memerlukan proses pemeriksaan yang lama untuk menentukan sama ada emas itu tulen atau tidak atas sebab sijil pengesahan ketulenan emas tersebut.



Produk Public Gold ditempa di dua tempat yang berbeza. Satu, ditempa di Malaysia dan yang kedua ditempa di luar negara (Turki). Untuk produk yang ditempa di Malaysia ia mempunyai sijil pengesahan ketulenan yang dikeluarkan oleh KL Assay Office (M) Sdn Bhd yang ditandatangani oleh Tuan Abdul Shukor Anuar. Produk yang ditempa di Turki ia diperolehi daripada syarikat Nadir Metal Rafineri di mana produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini mendapat pengiktirafan daripada LBMA (London Bullion Market Association). LBMA adalah organisasi yang menetapkan standard bagi memastikan emas yang didagangkan di pasaran adalah yang terbaik. Ia turut disertakan dengan sijil pengesahan ketulenan daripada assayer syarikat Nadir Metal Rafineri.


Jaminan Membeli Semula


Hari ini di Malaysia syarikat menjual emas tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tidak cukup dengan kedai emas, bank-bank komersial juga turut menjalankan urusniaga emas. Oleh yang demikian, jaminan membeli semula emas merupakan aspek yang amat penting untuk difikirkan sebelum anda membuat simpanan dan pelaburan emas. Ada beberapa syarikat mengenakan syarat yang amat ketat sekiranya anda ingin menjual semula emas yang dibeli untuk mendapatkan keuntungan dan ada juga syarikat yang menjual emas tetapi tidak akan membeli semula emas yang dijual.



Antara syarat yang dikenakan oleh syarikat-syarikat ini adalah seperti tidak boleh calar, tidak boleh kemek, dan emas tersebut mesti tidak mempunyai sebarang kecacatan. Sekiranya emas yang ingin dijual mempunyai sebarang kecacatan maka ia akan mempengaruhi harga belian semula tersebut. Justeru itu, sebagai pengguna yang bijak, pengguna yang tidak mahu berdepan dengan masalah sekiranya ingin menjual semula simpanan emas, pilih syarikat yang mempunyai jaminan untuk membeli semula emas walau dalam apa jua keadaan emas tersebut.